PRU 13: Hudud Tiada Tempat Dalam Manifesto PR
February 25, 2013 · 13 Comments
Pagi tadi bertempat di Shah Alam Convention Centre (SACC), PR telahpun melancarkan Manifesto Rakyat Pakatan Harapan Rakyat sempena sebagai persiapan untuk menghadapi PRU 13 yang dijangkakan akan berlangsung dalam waktu terdekat ini.
Banyak janji yang ditaburi termasuklah untuk menurunkan harga kereta dan menghapuskan PTPTN, membina rumah mampu milik serta caruman itu dan ini, sebahagian penyokong PR mungkin gelap mata memandang namun sebahagian besar rakyat Malaysia pastinya sekadar memandang sepi sambil mencebik bibir.
Bak kata Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim manifesto bukannya satu perjanjian, jadinya apa nak diharapkan pada janji yang ditaburi yang pastinya hanya untuk dimungkiri dan dicapatikan, tak gitu?.
Ironinya manifesto berwarna jingga setebal 38 muka surat termasuk 4 muka surat kosong (versi PDF) ini dilancarkan tatkala para pimpinan PR masih lagi sibuk mempertikaikan ketelusan SPR selaku badan bebas yang mengendalikan pilihanraya di Malaysia. Menarik bukan?
Di muka surat 34 dan 35 dikepilkan surat watak ciptaan PR bernama Muhammad Adlan bin Azrul dari Damansara yang melalui surat bertarikh 14 September 2023 telah melafazkan kegembiraan melihat perubahan hasil tindakannya mengundi PR 10 tahun lalu dalam PRU 13 2013.
Surat rekaan merentasi masa depan itu secara jelas menggambarkan keyakinan PR untuk menang dalam PRU 13 yang secara tersiratnya menonjolkan keyakinan PR terhadap ketelusan SPR sekalipun saban hari pengendali pilihanraya itu sering ditohmah dengan pelbagai tuduhan.
Dalam pada itu, sebanyak dua tiga kali penulis mengulang baca isi kandungan manifesto PR ini, jenuh mata penulis melilau mencari kalau-kalau terjumpa janji perlaksanaan hukum hudud sebagaimana sering digebang oleh PAS, malangnya satu ayat pun tidak kelihatan.
Malah iltizam PAS untuk mendirikan sebuah Negara Islam sebagaimana pernah diikrarkan melalui Dokumen Negara Islam (DNI) pada tahun 2003 dulu pun langsung tak kelihatan jua.
Nampak gayanya, isu hudud PAS dan Negara Islam alagaPAS sudah benar-benar dibakul sampahkan sekalipun sehingga kini di mana sahaja PAS berceramah terutama di kawasan majoriti Melayu Islam, PAS dan penyokong mereka sering mencemuh Kerajaan Pusat kerana tidak melaksanakan hudud.
Hatta dalam media maya ini pun masih ramai penyokong PAS mengulangi tuntutan supaya hukum hudud dimartabatkan dengan alasan ia akan mencegah masalah jenayah disamping akan memartabatkan hukum hakam Islam di tempat yang tertinggi, lebih tinggi dari Perlembagaan Negara.
Sepatutnya dengan keyakinan PRU 13 bakal menjadi milik PR maka sewajarnya isu hudud yang sudah lama diusung keliling kampung oleh PAS semudah ABC sahaja untuk dimasukkan dalam manifesto PR, betul tak?
Persoalannya kenapa PAS tidak berminat membuktikan kesungguhannya dalam isu perlaksanaan hudud dengan mengikrarkan janji tersebut dalam manifesto PR ini?
Adakah kerana takut dengan kekuatan DAP atau sudah menerima realiti bahawa suasana semasa dan komposisi kaum negara ini belum mengizinkan perlaksanaannya?
Atau pun manifesto PR 2013 ini adalah jawapan muktamad pengakuan PAS bahawa isu perlaksanaan hudud hakikatnya hanyalah satu umpan sahaja untuk kepentingan politik kepartian?
By HackerXP
More » Bonology.com | Pakatan Rakyat (PR) | Sociopolitics Plus | 大马社会政治
Comments