Penyokong PR Panas Disindir Salih Yaakob
February 27, 2013 · 7 Comments
Suatu ketika dulu pelawak terkenal tanahair, Salih Yaacob pernah mendapat pujian melangit dari kalangan penyokong pembangkang terutamanya PAS berikutan aksinya yang bersahaja ketika meniru suara Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat sewaktu mengacarakan Anugerah Bintang Popular 2004 (ABP 2004).
Video aksi Salih Yaacob itu sehingga kini masih boleh ditonton di beberapa channel Youtube, salah satunya telah merekodkan lebih 500,000 hit sejak ia dimuat naik pada tahun 2009.
Dek kerana video ini, ramai penyokong PAS membuat tafsiran dan spekulasi bermotif politik kononnya Salih Yaacob melakukan aksi itu atas sifatnya sebagai peminat setia Nik Aziz dan juga merupakan seorang penyokong kuat PAS.
Sementara itu, di kalangan peminat beliau yang condong kepada UMNO tiada yang berpatah arang gara-gara aksi jenaka yang dipersembahkan oleh penghibur itu malah tiada yang memaki hamun atau mengugut untuk memboikotnya.
Hakikatnya, aksi Salih Yaacob itu diterima sebagai hiburan semata-mata yang menggeletek hati dan menghiburkan para penonton sesuai dengan kedudukan beliau sebagai seorang penghibur serba boleh.
Masa berlalu, kini Salih Yaacob yang sekarang adalah juruhebah di stesen radio Sinar.FM tampil lagi dengan aksi terbaru dalam video komedi gelap Bangkang Dari Longkang musim kedua bertajuk Buku Jingga.
Dalam video itu beliau melakonkan watak sebagai seorang pemimpin politik yang gemar menabur janji itu dan ini kepada khalayak sambil diapit seorang lagi pelawak tanahair, Nabil.
Tak semena-mena, mungkin kerana terasa panas dengan sindiran dan lawak sinis yang dipersembahkannya, ramai penyokong PR khususnya PAS tidak dapat menerimanya. Sampaikan ada yang berkira-kira untuk memboikot dari terus mendengar stesyen radio Sinar FM.
Yang paling lawak sampai ada penyokong PR yang menuntut Salih Yaacob dan Nabil memohon maaf secara terbuka gara-gara tidak berpuas hati dengan aksi lakonannya dalam video parodi tersebut.
Ternampak jelas ketidakmatangan sepertinya sudah sebati dalam jiwa ramai penyokong PR. Emosi tidak stabil barangkali. Mereka langsung tidak dapat menerima hasil seni yang dirasakan mengkritik atau menyindir mereka, kalau boleh mereka mahu sentiasa dipuji agaknya.
Tapi peliknya aksi tayang punggung di konsert hiburan anjuran PR oleh kumpulan underground Carburetor Dung pada pertengahan tahun 2009 yang berlangsung di Stadium Kelana Jaya dulu, tidak ramai pula penyokong PR yang membantahnya.
Sebaliknya ramai pula penyokong dan pemimpin PR yang menganggap lagu nyanyian Carburetor Dung berjudul Mari Nyanyi Menjilat sambil punggung bogel tertonggeng itu adalah satu seni protes terhadap BN. Seni kot celah kangkang mana tak tahulah, luar tabii betul.
Apa pun, pesanan kepada Salih Yaacob, Nabil dan lain-lain artis yang terlibat menjayakan video parodi Bangkang Dari Longkang, tak usahlah ambil pusing dengan segala cacian dan makian dari penyokong parti politik yang tak berapa waras itu. Anda sudah berada di landasan yang betul.
By HackerXP
More » Bonology.com | Pakatan Rakyat (PR) | Sociopolitics Plus | 大马社会政治
Comments