Pas Digesa Bermuhasabah, Teliti Pandangan Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram
Oleh Azman Abas
KUALA LUMPUR, 28 Mei – Pas hari ini disaran bermuhasabah dengan seikhlasnya pandangan Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi dengan melihat kembali kepada tindak-tanduk parti itu demi kepentingan umat Islam sejagat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (ILMU), Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya berkata bukanlah niat beliau untuk mengajar sesiapa, cumanya ingin mengajak ke arah kebaikan dan meneliti pandangan Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram tersebut secara mendalam.
"Bukankah jelas pandangan Sheikh Dr. Sulaiman itu bahawa fatwa propaganda yang mengatakan seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti tertentu adalah suatu kejahilan, kebodohan dan kesesatan.
"Atas dasar itu, saya merasakan Pas perlu menarik balik 'fatwanya' sebelum ini yang mengatakan individu yang mengundi parti itu akan mendapat balasan syurga kerana ia ternyata terkeluar daripada ajaran Islam," katanya.
Tegas beliau, demi kekuasaan, Pas sanggup menjanjikan syurga walhal adakah kuasa politik boleh menjanjikan sesuatu yang setaraf dengan Allah SWT?
"Sesungguhnya hanya Allah SWT yang berhak menawarkan ganjaran syurga dan bukannya Pas dan apakah parti yang kononnya melaung-laungkan Islam itu sempurna hingga melayakkan mereka berbuat demikian. Pas perlu tarik balik kenyataan undi Pas boleh masuk syurga," katanya di sini, hari ini.
Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi menegaskan, fatwa propaganda yang mengatakan seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti tertentu adalah suatu kejahilan, kebodohan dan kesesatan.
Menurut Profesor Jurusan Akidah, Mazhab dan Firaq, Universiti Ummul Qura, Mekah itu, ia tidak sepatutnya keluar daripada mulut orang yang berakal, lebih-lebih lagi dari seorang muslim yang peka dirinya diawasi Allah dalam setiap percakapan serta perbuatan.
Jelas beliau, syurga adalah nikmat, rahmat dan kelebihan yang dikurnia Allah kepada sesiapa yang dapat melaksanakan tuntutan ubudiyah bukan kepada mana-mana pengundi manakala neraka pula adalah azab Allah ke atas mereka yang sesat, kufur atau syirik.
Ustaz fathul seterusnya menambah Pas juga perlu melihat kembali kepada 'Amanat Haji Hadi' dan perlu melakukan tindakan yang sama seperti 'fatwa' undi Pas dijanjikan balasan syurga.
Ini kerana katanya 'amanat' berkenaan telah memecahbelahkan umat Islam yang pada satu ketika wujudnya dakwaan sembelihan orang UMNO dianggap haram selain wujudnya sembahyang dua imam gara-gara 'amanat' tersebut.
"Siapalah saya untuk buat teguran…tetapi atas dasar sesama Islam, marilah kita sama-sama renung dan lihat pandangan daripada ilmuwan Islam. Janganlah kerana politik segala-galanya boleh berlaku…Nauzubillahhiminzalik.
"Demi kekuasaan, Pas sanggup menjanjikan syurga. Adakah kuasa politik boleh menjanjikan sesuatu yang setaraf dengan Allah SWT? Pas perlu tarik balik kenyataan undi Pas boleh masuk syurga," katanya lagi. – MediaUMNO
More » Bonology.com | Pakatan Rakyat (PR) | Sociopolitics Plus | 大马社会政治
Comments