Masuk UMNO Dengan Kerelaan Bukan Dibeli – Amy Search
Oleh Mohd Nasri Zakariah
KUALA LUMPUR 29 Mei – Tindakan tiga artis tanah air mengambil keputusan untuk menyertai UMNO adalah atas kerelaan mereka sendiri bukannya dipaksa oleh mana-mana pihak dan bersedia untuk berdepan dengan cemuhan serta tohmahan.
Lagenda rock tanah air, Suhaimi Ibrahim yang dikenali sebagai Amy Search berkata beliau bersama Mus May (Mustapha Din) dan Ibnor Riza bertindak sedemikian kerana menyedari hanya UMNO sahaja mampu memberi harapan bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi kepada semua rakyat di negara ini.
"UMNO ini diibaratkan seperti sebiji buah kelapa, semakin tua semakin banyak santan, kerana UMNO sahaja yang dapat memberi harapan kepada rakyat dan kita perlu buat keputusan yang betul dan jangan biar negara ini diperintah oleh orang lain.
"Saya pasti pelbagai tohmahan serta cemuhan dengan tindakan saya ini, saya masuk UMNO bukan kerana dibeli, kerana kerelaan saya sendiri, saya ada maruah dan fikir yang terbaik dan melihat masa depan," katanya selepas majlis penyerahan borang keahlian kepada Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh di Ibu Pejabat UMNO, hari ini.
Menurutnya, keinginan untuk bersama UMNO sudah lama di fikirannya selepas arwah bapanya yang meminta dirinya melihat apa yang telah dilakukan oleh UMNO sehingga berjaya membawa kemerdekaan negara.
Sementara itu, Mus May berkata beliau bersedia untuk berdepan dengan apa sahaja yang bakal diperkatakan berhubung tindakan yang diambilnya.
"Itu hak mereka untuk menuduh apa sahaja, yang penting pada diri saya, apa saya lakukan ini adalah ikhlas dan bukannya disebabkan oleh sesuatu, orang Melayu perlu sedar, orang Melayu maju kerana UMNO.
"Walaupun ada di kalangan artis yang berlainan pendapat dan fahaman, namun kami tetap sahabat kerana itu adalah individu, bagaimanapaun kita perlu sedar supaya tidak mengambil tindakan yang silap dan akhirnya bukan sahaja merugikan kita tetapi keseluruhannya," katanya.
Ibnor Riza menyifatkan kemasukkan itu adalah keputusan beliau sendiri kerana sebelum ini tidak pernah bersama-sama dengan mana-mana parti politik dan berharap akan dapat memberi sumbangan terutamanya dalam usaha untuk menyatukan orang Melayu. – MediaUMNO
More » Bonology.com | Pakatan Rakyat (PR) | Sociopolitics Plus | 大马社会政治
Comments