IPO FGV: Najib Harap Lebih Baik Daripada Facebook
A Kadir Jasin
[SILA guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih]
FELDA Global Venturea Holdings Berhad (FGV) bukan Facebook Inc dan Mohd Najib Abdul Razak bukan Mark Zuckerberg.
FGV adalah syarikat Malaysia milik bersama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan peneroka serta kakitangan Felda.
Facebook, laman sosial siber terbesar adalah milik "computer geek" Zuckerberg. Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP menterjemahkan computer geek sebagai gek komputar.
Computer geek adalah orang yang sangat pintar dalam hal komputer tetapi agak kekok dalam pergaulan sosial. Lebih kurang macam ulat buku atau book worm.
Zuckerberg adalah antara gek komputer terkemuka di dunia, tetapi dia nyata tidak kekok dalam perhubungan dengan khalayaknya. Bukan saja Facebook berjaya, tetapi sahamnya diberikan penarafan yang sangat tinggi sebelum disenaraikan di Pasaran Saham Nasdaq, New York.
Bagaimanapun, sejak saham-saham Tawaran Awam Permulaan (Initial Public Offering/IPO) Facebook itu diniagakan pada 25 Mei lalu, Zuckerberg yang didewa-dewakan itu bertukar menjadi "orang buruan".
Pelabur Derita Zuckerberg Tetap Kaya
D! alam mas a 10 hari sejak diniagakan, nilai saham Facebook telah merosot 25 peratus. Pembeli yang membeli dengan harga tawaran AS$ 38 (kira-kira RM121.60) telah kerugian AS$ 9.90 (RM30.40).
Nilai saham milik Zuckerberg pun merosot juga. Kekayaan beliau hasil IPO Facebook itu dianggarkan bernilai AS$ 15 bilion (RM48 bilion) berbanding AS$ 19 bilion (RM60.8 bilion) apabila IPO diumumkan.
Tidak hairanlah kalau beliau masih boleh berbulan madu dengan isterinya, Priscilla Chan, yang dikahwininya seminggu selepas IPO. Zuckerberg masih kaya raya dan bergembira dengan isterinya, tetapi ramai pelabur kecil dan besar sedang keluh-kesah kerana spekulasi mereka meleset.
Itulah realiti IPO. Sama ada ia dilakukan oleh Facebook, Freescale (yang ada kilang di Kelana Jaya), Spirit Airlines dan Lone Pine Resources di Amerika (yang semuanya jatuh apabila mula diniagakan) atau FGVHB di Malaysia, risiko tetap ada.
Dalam mengharapkan durian runtuh kerana percaya kepada apa yang diuar-uarkan dalam prospektus, pelabur hendaklah juga bersedia menghadapi ancaman dan risiko yang ada dalam semua bentuk pelaburan dan perniagaan.
FGV Jangan Jadi Macam Facebook
Hari ini, FGV mengumumkan prospektus IPOnya. Kalau Zuckerberg menjadi wajah dan jurucakap Facebook, Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak menjadi wajah dan ketua jurucakap FGV.
Beliaulah yang melancarkan prospektus FGV di ibu negara hari ini.
Namun saya menaruh harapan yang IPO FGV akan menjanjikan prestasi jangka pendek dan panjang yang lebih positif daripada IPO Facebook demi kebajikan pelabur, peneroka dan kakitangan Felda serta kita semua.
Saya juga berharap yang harapan Mohd Najib agar IPO FGV mencapai prestasi lebih baik daripada Facebook akan menjadi kenyataan.
Mohd Najib tentulah tidak memandang remeh prestasi pasaran FGV. Zuckerberg boleh pergi berbulan madu di Eropah kerana itu duit dia, tetapi Mohd Najib terpaksa berdepan dengan pengundi dan pembayar cukai yang mempunyai hak ke atas FGV.
Penyenaraian FGV adalah antara projek pra-pilihan raya Kerajaan Barisan Nasional.
Menurut Mohd Najib, FGV akan menjadi syarikat berasaskan kepala sawit ketiga terbesar di dunia dengan modal pasaran RM16.6 bilion.
Melalui IPO itu, FGV akan menawarkan 2.188 bilion saham atau 63 peratus daripada modalnya yang diperbesarkan pada harga tanda runcit RM4.55 sesaham.
Saham-saham itu ditawarkan kepada kepada institusi pelaburan tempatan dan asing, termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
200.6 Juta Saham Khas Kepada Peneroka dan Kakitangan
Tawaran kepada pelabur runcit berjumlah 273.61 juta saham pada kadar RM4.55 atau dua peratus lebih rendah daripada harga tawaran institusi. Daripada jumlah itu, sebanyak 200.6 juta ! saham di khaskan kepada peneroka dan kakitangan Felda.
Ini bermakna pelabur runcit diperuntukkan 73.61 juta saham sahaja.
Pembeli institusi boleh menjadi proksi kepada pihak-pihak tertentu dengan bertindak sebagai pemegang amanah.
Jadi "public spread" IPO FGV tidaklah besar dan pelabur runcit terpaksa bersaing untuk mendapatkan jumlah yang terhad itu.Mungkin inilah cara pemegang saham utama FGV mencuba mengekalkan penguasaan mereka ke atas syarikat itu sambil menjamin tidak berlaku pengambilan keuntungan yang berlebihan.
Mereka tentu mahu mengelakkan harga saham mereka daripada jatuh di bawah paras harga terbitan apabila mula diniagakan di Bursa Malaysia pada 28 Jun ini.
Mereka tentulah tidak mahu nasib malang yang menimpa Facebook berlaku kepada mereka kerana risiko perniagaan dan politik IPO FGV sangat tinggi bagi Mohd Najib dan kerajaan Barisan Nasional yang beliau pimpin.
Sama ada IPO FGV menjanjikan durian runtuh atau bertukar menjadi pohon durian tumbang, bergantung kepada kecekapan, inovasi dan sifat amanah lembaga pengarah dan pengurusan kanannya.
Dan sama ada saham FGV akan mendapat penarafan positif atau negatif bergantung kepada keyakinan pelabur terhadap pengurusannya dan terhadap masa depan ekonomi Malaysia dan dunia. Wallahualam.
Read More @ SourceMore » Bonology.com | Pakatan Rakyat (PR) | Sociopolitics Plus | 大马社会政治
Comments