Tidak Pelik Pas Terus Bermain Politik Selamat Demi ‘Putrajaya’
Oleh Azman Abas
KUALA LUMPUR 30 Mei – Tidak pelik dan bukan sesuatu yang janggal Pas akan terus bermain dengan politik selamat berhubung 'fatwa' mereka sebelum ini yang boleh mengelirukan umat Islam sejagat dalam usaha memastikan matlamat pembangkang tercapai.
Kepimpinan Pas khususnya Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mungkin lupa segala kata-kata mereka sebelum ini, namun percayalah umat Islam di negara ini tidak akan lupa selamanya, kata Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO, Ustaz Hj Mohd Afandi Yusof.
Dengan memberikan contoh 'Amanat Haji Hadi' selain 'pahala serta syurga' dan sebagainya lagi apakah mereka sudah lupa kata-kata sedemikian hingga menyebabkan umat Islam berpecah antara satu sama lain.
"Saya bukannya mahu membuat tuduhan melulu dan sama sekali tidak mahu mengeksploitasi keadaan. Cuma apa yang diminta adalah sedikit keinsafan daripada pemimpin Pas dalam soal berkenaan.
"Jika betul sepertimana yang diperkatakan diatas berilah penjelasan……Lagi pun Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi turut sama berkongsi pandangan dalam soal tersebut.
"Bukankah jelas pandangan Sheikh Dr. Sulaiman itu bahawa fatwa propaganda yang mengatakan seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti tertentu adalah suatu kejahilan, kebodohan dan kesesatan. Jadi apa lagi yang ditunggu," katanya.
Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi (gambar) menegaskan, fatwa propaganda yang mengatakan seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti tertentu adalah suatu kejahilan, kebodohan dan kesesatan.
Menurut Profesor Jurusan Akidah, Mazhab dan Firaq, Universiti Ummul Qura, Mekah itu, ia tidak sepatutnya keluar daripada mulut orang yang berakal, lebih-lebih lagi dari seorang muslim yang peka dirinya diawasi Allah dalam setiap percakapan serta perbuatan.
Jelas beliau, syurga adalah nikmat, rahmat dan kelebihan yang dikurnia Allah kepada sesiapa yang dapat melaksanakan tuntutan ubudiyah bukan kepada mana-mana pengundi manakala neraka pula adalah azab Allah ke atas mereka yang sesat, kufur atau syirik.
Ustaz Afandi seterusnya menambah mungkin Pas merasakan isu berkenaan adalah isu yang biasa dan bukannya 'urgent' kerana bagi mereka apa yang penting mencapai matlamat menuju ke Putrajaya bersama DAP dan PKR.
"Lagi satu mungkin mereka melihat dan beranggapan isu tersebut bakal menjerat leher mereka sendiri. Jadi adalah lebih baik bermain politik dengan cara yang lebih selamat.
"Tetapi ingin saya ingatkan sampai bilakah mereka sanggup melihat keadaan itu berterusan. Jika mereka benar-benar sebuah parti yang berpaksikan Islam, saya rasa keadaan itu tidak akan berlarutan malah dengan cepat dan pantas mendapat tumpuan kerana isunya adalah soal Islam," katanya.
More » Bonology.com | Pakatan Rakyat (PR) | Sociopolitics Plus | 大马社会政治
Comments