Siapa Mahathir dalam Muzikal Tun Mahathir? — Ku Seman Ku Hussain


October 31, 2010

31 OKT — Karya seni adalah interpretasi dan bukan memindahkan realiti. Maka definisi realiti dalam konteks sesebuah karya seni adalah satu interpretasi.

Kerana itu apabila menghasilkan filem JFK mengenai J.F Kennedy, Presiden Amerika Syarikat (AS) yang mati dibunuh, pengarah Oliver Stone tidak memilemkan sejarah tragedi pembunuhan Kennedy. Tetapi Oliver Stone menginterpretasi tragedi yang menjadi misteri hingga kini.

Dalam kerja-kerja mengadaptasi kisah hidup tokoh-tokoh tertentu, fakta memang penting tetapi bukan kayu ukur karya itu. Oliver Stone mengadaptasi kisah tragedi kemudian memberikan interpretasi daripada sudut pemikirannya. Mengangkat laluan hidup seorang tokoh kepada medium seni, tidak kira filem atau teater bukanlah mengangkat biografinya. Semua orang tahu tentang biografi, tetapi teater atau filem mesti melihat sesuatu yang luar biasa daripada rentetan hidup tokoh berkenaan.

Karya seni bukanlah tayangan slide yang membawa kita melihat semula perkara-perkara yang lepas. Karya seni adalah sudut pemikiran yang diinterpretasi daripada sesuatu tragedi atau tokoh. Maka sebab jugalah Richard Nixon satu-satunya bekas Presiden AS yang paling banyak difilemkan tetapi semuanya melihat Nixon daripada sudut pemikiran dan pandangan yang berbeza.

Baru-baru ini Istana Budaya mementaskan Muzikal Tun Mahathir arahan Rosminah Tahir dan naskhah skrip oleh Ismail Kasan. Sebenarnya “memuzikalkan” bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah suatu hal yang agak pelik. Sebabnya banyak fragmen dalam laluan tokoh ini tidak boleh dimuzikalkan. Kalau dimuzikalkan juga, tidak sampai kepada penonton. Tetapi yang lebih ketara kehebatan Dr. Mahathir hilang dalam belitan fragmen-fragmen hidup beliau yang semuanya hendak dibawa ke pentas.

Selepas sekian banyak teater muzikal dipentaskan dan beberapa kisah hidup tokoh, kemuncaknya tentang Dr. Mahathir. Ini membuatkan kita bertanya, beginikah kualiti pemikiran sebuah teater muzikal? Biarlah kira bercakap tentang kualiti pemikiran, bukan kualiti kreatif kerana teknologi di Istana Budaya memungkinkan segala mimpi dapat dizahirkan. Tetapi jangan lupa teknologi dipandu oleh karyawan yang ada pemikiran besar lagi tajam.

Janganlah bersedih apabila Muzikal Tun Mahathir menenggelamkan tokoh yang hendak diangkat. Sebabnya pengarah dan penulis tidak memilih apa yang perlu diangkat dan tidak berani memberikan sudut pandangan mereka. Muzikal ini lebih kepada menyalin biografi Dr. Mahathir ke pentas tanpa merentasi proses adaptasi. Kita hendak melihat sudut pandangan karyawan terhadap pemikiran Dr. Mahathir menerusi banyak keputusan-keputusan kontroversial yang dilakukannya. Tetapi muzikal ini lebih cenderung menyapu di lapisan atas tentang Dr. Mahathir dan cuba menjadi “buku sejarah” kepada penonton. Kita kena menerima hakikat bahawa teater atau filem tidak boleh mengambil peranan buku sejarah.

Kontroversial

Dr. Mahathir adalah tokoh dunia yang pernah kita miliki. Dr. Mahathir juga seorang yang penuh kontroversial, relung kehidupan peribadi dan politik penuh warna. Terlalu banyak perkara-perkara besar yang dibuat demi nusa ini walaupun pada penuh kontroversi.

Sebagai tokoh negara bertaraf dunia, semua laluan hidup Dr. Mahathir sudah diketahui umum. Siapa yang tidak tahu kisah hidup seorang perdana menteri ini? Jadi, yang penting tentang Dr. Mahathir bukanlah kisah hidupnya tetapi menyelongkar karakter dan pemikiran Dr. Mahathir.

Apa perlunya babak awal yang menghabiskan masa penonton dengan sia-sia tentang kelahiran Dr. Mahathir dan zaman kanak-kanaknya? Kalau mengikut formula menonton teater, 15 minit pertama adalah indikator kepada keseluruhan pementasan. Maka muzikal ini telah memberikan isyarat kehilangan tempo dramatik apabila mengambil pendekatan kronologi.

Saya ada terbaca, produksi ini banyak menekankan bahawa muzikal ini berpandukan kepada fakta. Memanglah mengangkat seorang tokoh mesti mengikut fakta tetapi bukan fakta saja yang penting. Kerana mementingkan fakta muzikal ini menjadi helaian slide. Apa pentingnya babak wartawan Utusan, Rosnah Majid mewawancara Dr. Mahathir dalam studio? Babak ini sangat “kering”. Saya sangat mengagumi Rosnah tetapi watak Rosnah tidak memberi makna dalam muzikal ini.

Peristiwa-peristiwa besar yang dibuat Dr. Mahathir disentuh secara sepintas lalu. Lihatlah bagaimana muzikal ini mengangkat peristiwa Mahathir dipecat dari UMNO oleh Tunku Abdul, Rahman malah yang paling besar di tangan Dr. Mahathir UMNO diharamkan tetapi dapat diselamatkan. Apakah interpretasi penulis skrip dan pengarah kepada peristiwa besar kepada seluruh umat Melayu itu?

Apalah malangnya teater muzikal kita, peristiwa yang sarat dengan sentuhan kemanusiaan apabila Dr. Mahathir mengumumkan perletakan jawatan diganggu oleh footage di skrin? Penonton hendak menonton footage dari slot berita televisyen itu atau menonton lakonan di atas pentas dan mencari sejauh manakah kemampuan pengarah memahami peristiwa itu?

Nasib baik muzikal ini banyak diselamatkan oleh kesungguhan pelakon yang rata-ratanya bukan terdidik oleh disiplin teater. Pelakon Esma Daniel (Dr. Mahathir) dan Erra Fazira (Dr. Siti Hasmah) misalnya kelihatan cemerlang. Keterampilan lakonan kedua-dua pelakon ini bukanlah disebabkan mirip personaliti yang dilakonkan tetapi penghayatan yang tinggi kepada watak. Tahniah Esma Daniel dan Erra.

Maka benarlah kata bapa teater moden, Henrik Ibsen (1828 - 1906) bahawa cabaran paling hebat seorang seniman bukanlah untuk menghasilkan karya yang besar tetapi mampu atau tidak menyatakan sudut pemikiran yang besar.

Kekecewaan penonton terhadap Muzikal Tun Mahathir (walaupun semua ulasan memuji) mesti segera diubati. Caranya karyawan perlulah berfikir lebih hebat atau sama dengan khalayaknya. Menilai teater bukanlah daripada aspek struktural semata-mata tetapi apa yang dirasa semasa menontonnya. Saya tetap percaya penonton lain juga merasai hal yang sama biarpun mereka tidak tahu mengenai teater. — Mingguan Malaysia

Comments

Optimized Search

Popular posts from this blog

BAGAIMANA GAMBAR AWEK MELAYU BOGEL BOLEH TERSEBAR DIDALAM BLOG??

Scandal: Alyssa The Scandal Queen

Jho Low's Girlfriend Paris Hilton drunk and flashing panties ...