Isu Akaun RM3 Billion : PKR Seperti Biasa Ambil Jalan Mudah Tuduh UMNO
Oleh Wan Mohd Hafiz Wan Hamzah
KUALA LUMPUR, 27 Jun – Seperti biasa, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution hari ini dalam kenyataannya secara terus-terusan menyalahkan UMNO, berkenaan isu pendedahan bekas Gabenor Bank Negara, Datuk Murad Khalid, yang mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengawal selia akaun yang berjumlah RM 3 Billion ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Saifuddin dalam kenyataanya hari ini turut mendakwa, bahawa bekas Gabenor Bank Negara itu telah diugut menandatangani surat akuan sumpah dan telah meminta maaf kepada Anwar Ibrahim dan keluarganya, kerana membuat fitnah tersebut.
Namun, menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin, PKR sepatutnya memberi peluang kepada pihak berwajib seperti polis dan SPRM untuk menyiasat kes ini terlebih dulu untuk mencari bukti-bukti kukuh yang boleh mensabitkan dakwaan tersebut, sebelum dengan sewenang-wenangnya menuduh pihak lain yang menjadi dalangnya.
"Jadi PKR dan juga para penyokong Anwar tidak perlulah menggelabah tentang isu ini termasuklah menuduh UMNO yang menjadi dalang dalam isu ini. Sepatutnya, PKR perlu tunggu dan lihat perkembangan isu ini dan tidak perlu menuduh mana-mana pihak secara semberono dan tanpa bukti supaya ia tidak menimbulkan kekeliruan pada masyarakat awam," tegasnya kepada mediaUMNO di sini hari ini.
Beliau selain itu turut membidas sikap para pemimpin Pakatan Pembangkang yang seringkali menuduh UMNO menjadi dalang, apabila timbul sebarang isu salah laku yang melibatkan kepimpinan Pakatan Pembangkang.
Tegasnya, UMNO bukanlah berkuasa di atas setiap segala sesuatu dan UMNO juga hanyalah merupakan sebuah parti yang sama saja dengan parti-parti lain kecuali UMNO merupakan parti yang dipilih oleh rakyat untuk menjadi pemerintah.
"Inilah sikap para pemimpin pembangkang yang tidak mahu menjelaskan isu-isu tersebut kepada umum, sebaliknya mengambil langkah mudah dengan menuduh bahawa UMNOlah yang menjadi dalang pada setiap isu salah laku dan moral yang membabitkan kepimpinan Pakatan Pembangkang.
"Ini memperlihatkan sikap Pakatan Pembangkang yang sedaya upaya menyembunyikan kelemahan mereka dengan melemparkan tuduhan terhadap orang lain bagi mengalih isu yang sebenar. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana kita sama-sama mendaulatkan undang-undang dan janganlah cuba menuduh orang lain dan membelakangkan undang-undang demi kepentingan politik semata-mata," ujar beliau. -MediaUMNO
More » Bonology.com | Pakatan Rakyat (PR) | Sociopolitics Plus | 大马社会政治
Comments