Malaysia akan berusaha bawa usul ke IPU
Malaysia akan berusaha bawa usul ke IPU
KUALA LUMPUR 29 Jun Malaysia akan berusaha untuk membawa usul pada Himpunan Kesatuan Antara Parlimen (IPU) yang bakal berlangsung di Berne, Switzerland Oktober depan bagi membantah kenyataan Setiausaha Negara itu, Hillary Clinton baru-baru ini yang menyifatkan misi kemanusiaan oleh aktivis pro-Palestin sebagai tindakan provokasi terhadap Israel.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, tindakan itu bagi menunjukkan rasa tidak setuju Malaysia terhadap kenyataan Hillary selain menggambarkan sokongan penuh yang diberi rakyat di negara ini terhadap misi kemanusiaan tersebut.
Kami akan kaji terlebih dahulu bagaimana caranya untuk berbuat demikian memandangkan ini adalah kali pertama Malaysia mahu membawa usul. Saya selaku Presiden IPU Malaysia akan mengadakan mesyuarat bersama rakan-rakan lain bagi membincangkan isu ini.
Apa pun saya yakin, Parlimen dan IPU Malaysia akan memberi sokongan kuat kepada usaha ini serta setiap perkara yang dilakukan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan bagi membantu masyarakat rakyat Palestin yang di Gaza, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima memorandum disampaikan Pengerusi Pasukan Pengurusan Krisis Life Line 4 Gaza (LL4G), Muhammad Ridhwan Sulaiman di pejabatnya di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Memorandum itu bertujuan mendapatkan perhatian Parlimen Malaysia mengenai isu dibangkitkan Clinton agar perkara itu diusulkan kepada IPU.
Mengenai memorandum tersebut, Nazri berkata, beliau akan memaklumkannya kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk tindakan selanjutnya.
Kita tidak setuju dengan apa yang disebut Hillary serta apa jua ancaman Israel terhadap menghalang flotilla ke Gaza. Walaupun Amerika Syarikat baik dengan kita, namun dalam hal Palestin kita menyokong usaha kemanusiaan untuk penduduk di sana, ujarnya.
Dalam pada itu, Ridhwan memberitahu, terdapat empat usul yang dibawa d! alam mem orandum tersebut dengan salah satu daripadanya adalah bantahan terhadap kenyataan Hillary.
Usul kedua, mendesak Israel agar tidak menggunakan kekerasan terhadap delegasi Freedom Flotilla II yang akan berlayar ke Gaza sementara usul ketiga menggesa rejim Zionis menghormati undang-undang antarabangsa.
Kami juga mendesak agar misi kemanusiaan itu dibenarkan untuk masuk ke Gaza kerana mereka menderita akibat disekat daripada mendapatkan makanan, bahan bakar serta keperluan asas lain, katanya.
Comments