JANGAN BIARKAN MASA DEPAN ANAK-ANAK ANDA ROSAK...
Pergerakan Wanita UMNO Wilayah Persekutuan hari ini menyeru ibu bapa agar menasihati anak-anak mereka tidak menyertai perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang dirancang pada 9 Julai ini.
Ketua Pergerakannya, Datuk Azizah Abd. Samad berkata, perhimpunan haram itu tidak harus disertai golongan muda kerana tiada jaminan keselamatan memandangkan ia akan dijalankan tanpa permit.
"Pihak penganjur meminta polis supaya membuat kawalan serta menjaga keselamatan mereka dan itu telah menunjukkan mereka sendiri pun tidak tahu bagaimana jaminan keselamatan terhadap mereka yang menyertai Bersih," katanya selepas membuat laporan polis bersama 30 ahli wanita UMNO terhadap Bersih di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Turut membuat laporan di IPD Dang Wangi, ahli Persatuan Pekak dan Bisu Wilayah Persekutuan.
Di PULAU PINANG, wakil Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Daerah Timur Laut, Mohd. Rizuad Mohd. Azudin membuat laporan polis di IPD Timur Laut mendakwa penganjur turut merancang mengadakan taklimat di negeri ini.
Menurutnya, kumpulan itu akan mengadakan taklimat khas berhubung perhimpunan haram berkenaan di Tapak Ekspo Sungai Nibong dan di Tapak Ekspo Seberang Jaya di Seberang Perai.
"Apa motif mereka mengajak rakyat Pulau Pinang berkumpul dan membuat taklimat perhimpunan haram di Kuala Lumpur itu. Tak kan hanya mahu s! erah mem orandum, perlu ajak orang berkumpul sehingga 100,000 orang," katanya.
Di KANGAR, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) turut membuat laporan di Balai Polis Kangar bagi membantah perhimpunan haram Bersih itu.
Laporan polis itu dibuat oleh Pengerusi PPN Perlis, Datuk Rashid Jasin yang mewakili 20,000 peladang di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan di luar lembaga tersebut.
Di KLANG, rancangan untuk mengadakan perhimpunan haram Bersih tersebut memberi kesan terhadap keyakinan masyarakat luar kepada tahap keselamatan negara.
Ini apabila terdapat para peserta pertandingan Ski Ais Asia yang dijadualkan berlangsung di Sunway Piramid di Petaling Jaya awal bulan depan melahirkan kebimbangan tentang keselamatan mereka berikutan laporan meluas mengenai rancangan perhimpunan itu.
Penolong Ketua Penerangan PPP, Tiong Yap Choon berkata, pihaknya dihubungi oleh para peserta dari Indonesia, Singapura, Thailand dan Hong Kong yang mahu memastikan tentang jaminan keselamatan diri mereka sepanjang berada di negara ini nanti.
"Mereka percaya dengan keselamatan negara kita namun ternyata rancangan Bersih telah memberikan kesan negatif terhadap imej negara," katanya selepas membuat laporan di IPD Klang Selatan hari ini. - Utusan Malaysia
Comments