Gurauan 'ketua mafia' buat Kit Siang berang
Gurauan 'ketua mafia' buat Kit Siang berang
KUALA LUMPUR 28 Jun - Gurauan panggilan 'ketua mafia' oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon terhadap Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang memakai kaca mata hitam ekoran sakit mata membuatkannya berang.
Panggilan sedemikian digunakan oleh Tsu Koon ketika mahu menjawab soalan tambahan Kit Siang pada sidang Dewan Rakyat hari ini yang mendakwa Program Transformasi Kerajaan (GTP) sebagai tidak berjaya kerana gagal meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi-institusi kerajaan.
Marah dengan tindakan Tsu Koon itu, Penasihat DAP itu bangun lantas berkata, sekiranya beliau digelar ketua mafia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga boleh digelar menteri mafia, Perdana Menteri juga boleh digelar Perdana Menteri mafia.
Tidak cukup dengan itu, Kit Siang dan beberapa Ahli Parlimen DAP lain antaranya Teresa Kok (DAP-Seputeh) mahu Tsu Koon menarik balik gelaran ketua mafia tersebut.
Bagi mengawal kekecohan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan semua Ahli Parlimen yang bangun supaya duduk lalu berkata, Tsu Koon hanya bergurau dan meminta supaya dielakkan daripada menggunakan perkataan yang boleh menimbulkan kekecohan dan reaksi negatif pihak tertentu.
Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk seri Mohamed Nazri Aziz turut menyapa Kit Siang dengan panggilan ketua mafia ketika Ahli Parlimen Ipoh Timur itu memasuki Dewan Rakyat, namun ia tidak mengundang kemarahannya.
Menjawab soalah asal Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol), Tsu Koon berkata, pelaksanaan GTP pada tahun pertama sejak Januari 2010 sudah menunjukkan prestasi membanggakan dengan kebanyakkan sasaran Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI) yang ditetapkan bagi enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) telah tercapai.
Sebagai contoh, katanya, NKRA mengurangkan jenayah sudah mencapai 15 peratus bagi jenayah indeks dan 35 peratus bagi j! enayah j alanan, jauh melebihi sasaran lima peratus dan 15 peratus masing-masing.
"Persepsi rakyat terhadap prestasi polis sudah meningkat ke 58 peratus berbanding sasaran 36 peratus, manakala perasaan takut terhadap jenayah pula menurun ke 53 peratus berbanding sasaran 59 peratus," katanya menjawab soalah Lilah mengenai sejauh mana kejayaan GTP sehingga kini serta cabaran dihadapinya.
Comments