Pemecatan Nasharudin Penuh Misteri
Tindakan Majlis Syura Ulama Pas mengumumkan pemecatan bekas Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sebagai anggotanya kelmarin menimbulkan misteri dan pelbagai persoalan yang masih tidak terjawab.
Antara persoalannya ialah punca pemecatan itu berlaku sama ada disebabkan kegagalan Ahli Parlimen Bachok berkenaan hadir ke mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas atau ekoran tindakannya mengiringi lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza baru-baru ini.
Malah sumber berkata, tidak mustahil berita pemecatan yang diumumkan sejurus selepas kepulangan Nasharudin mengiringi lawatan Perdana Menteri ke Gaza bertujuan mengalihkan isu kalimah Allah yang sebelum ini menjadi perbualan hangat dalam masyarakat.
"Lebih menimbulkan persoalan selain berita pemecatan itu lewat diumumkan iaitu selepas dua minggu keputusan dibuat (13 Januari), surat mengenai pemecatan ini juga sehingga kini masih belum diterima oleh Nasharudin," kata sumber itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan sumber itu berkata, jika alasan tidak hadir mesyuarat digunakan untuk memecat Nasharudin, mengapa salah seorang ahli Majlis Syura Ulama Pas iaitu Datuk Mohamed Daud Iraqi yang juga sering tidak hadir mesyuarat tidak dikenakan tindakan sama.
"Sepatutnya Daud Iraqi juga wajar dipecat kerana sering tidak hadir dalam mesyuarat. Bagaimana pula tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sering keluar mesyuarat awal dengan pelbagai alasan. Paling lama sepuluh ke 15 minit. Adakah ini dibolehkan?" ujar sumber itu.
Sumber itu berkata lagi, tidak keterlaluan juga tindakan yang sama wajar dikenakan terhadap Ahli Jawata! nkuasa Pas Pusat yang sering tidak hadir ke mesyuarat.
Berhubung kegagalan Pas menyerahkan surat pemecatan kepada Nasharudin sumber itu memberitahu, keadaan itu sememangnya menimbulkan misteri dan persoalan kerana keputusan pemecatan itu telah berlaku pada 13 Januari lalu.
"Di mana keberkesanan pentadbiran Majlis Syura Ulama Pas dan Setiausaha Agung Pas menguruskan perkara ini. Satu lagi persoalan adakah benar keputusan memecat Nasharudin itu telah dibuat pada 13 Januari lalu.
"Atau kemungkinan juga pemecatan itu dibuat selepas pemimpin-pemimpin Pas melihat Nasharudin mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza baru-baru ini. Segala-galanya mungkin," katanya lagi.
Satu lagi perkara yang boleh dipertikaikan kata sumber itu, Pas tidak mengikut tata cara pemecatan yang betul kerana Nasharudin sebelum dipecat tidak diberi surat tunjuk sebab dan haknya untuk membela diri.
Dalam pada itu sumber tersebut berkata, sekiranya tindakan Nasharudin mengiringi Perdana Menteri ke Gaza dianggap satu kesalahan, dua lagi pemimpin kanan Pas juga perlu dikenakan tindakan sama kerana mengiringi seorang Menteri Kabinet ke Eropah baru-baru ini.
"Dua pemimpin ini merupakan Ahli Parlimen Pas. Mereka dikatakan telah mengiringi seorang Menteri Kabinet ke Eropah. Sekiranya Nasharudin dikatakan bersalah kerana mengiringi Perdana Menteri, dua pemimpin kanan ini juga boleh dikenakan tindakan atas alasan yang sama," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, kata sumber itu, Nasharudin bukan sekali dua diberi peluang untuk mengiringi pemimpin utama kerajaan ke luar negara bahkan beliau pernah diberi tanggungjawab menjadi wakil Malaysia.
"Pernah satu ketika iaitu pada tahun 2011 Nasharudin telah diberi kepercayaan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mewakilinya dalam persidangan Speaker negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Damsyik meskipun Nasharudin seorang Ahli Parlimen Pas," katanya lagi.
Sementara itu Nasharudin ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan bahawa beliau belum menerima surat pemecatan sebagai ahli Majlis Syura Ulama Pas setakat hari ini.
"Saya masih menanti surat itu, sepatutnya saya sudah menerimanya kalau betul keputusan pemecatan dilakukan pada 13 Januari lalu," katanya.
Read More @ Source
More » Bonology.com | Pakatan Rakyat (PR) | Sociopolitics Plus | 大马社会政治
Comments