Kerajaan tangani masalah industri insurans
PELBAGAI inisiatif pembaikan sedang diambil untuk menangani masalah ketirisan yang mengakibatkan kerugian besar dalam sektor insurans ketika ini serta melengkapkan cadangan mekanisme penyediaan insurans motor akan diperkenalkan.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai, berkata beberapa perbincangan sudah diadakan bersama agensi kerajaan, persatuan perniagaan serta industri insurans dan takaful dari Ogos hingga September lalu, untuk mengenal pasti dan mendapatkan sokongan bagi melaksanakan inisiatif mempertingkat kecekapan dan ketelusan proses tuntutan insurans motor.
“Satu sesi konsultansi susulan dengan pelbagai pihak, termasuk persatuan pengguna, persatuan pengangkutan, Majlis Peguam serta industri insurans dan takaful, akan diadakan sebelum cadangan mekanisme serta inisiatif pembaikan dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan pada awal tahun depan,” katanya menjawab soalan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian).
Lim berkata, penanggung insurans dan pengendali takaful semakin berhati-hati menawarkan perlindungan insurans motor, terutama bagi kenderaan berisiko tinggi yang berusia lebih 10 tahun.
Katanya, ini berikutan pengalaman tuntutan perlindungan kematian dan kecederaan pihak ketiga semakin meruncing serta kemampuan kewangan terhad.
“Situasi ini boleh dilihat daripada aliran tuntutan mengikut usia kenderaan. Sebagai contoh, statistik dikumpul industri pada 2009 mendapati tuntutan purata bagi kenderaan persendirian dan kenderaan pengangkut barangan adalah masing-masing RM7,310 dan RM8,639 bagi kenderaan berusia lebih 10 tahun berbanding RM6,217 dan RM7,351 kenderaan kurang 10 tahun,” katanya.
Menjawab soalan berasingan oleh Khairy Jamaluddin (BN-Rembau), Lim berkata, pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia mencatat lebihan RM11 bilion pada separuh tahun pertama 2010 berbanding RM3.5 bilion separuh tahun pertama 2009.
Katanya, trend aliran masuk FDI semakin meningkat disokong usaha berterusan kerajaan yang menyediakan persekitaran perniagaan kondusif serta pemulihan beransur perbelanjaan modal global.
“Kebanyakan aliran masuk FDI ke Malaysia disalurkan ke sektor pembuatan dan perkhidmatan, terutama subsektor kewangan dan insurans serta sektor berkaitan teknologi. Pelabur utama aliran masuk FDI ke Malaysia adalah dari Amerika Syarikat, Belanda dan Jepun,” katanya.
Comments