PKR terdesak, buta sejarah — Mohd Khuzairi Ismail
Ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana PKR ketika ini berdepan dengan pelbagai konflik kepercayaan dan sokongan apabila ramai ahlinya termasuk pemimpin kanan bertindak keluar parti. Proses pemilihan parti yang baru sahaja berakhir pula semakin mendedahkan wajah sebenar PKR apabila ahli-ahlinya bercakaran sesama sendiri kerana tidak puas hati dengan amalan nepotisme dan kronisme. Dalam situasi seperti ini, PKR perlu mencari satu isu untuk menutup kelemahan parti itu dalam masyarakat.
Isu paling mudah sudah semestinya ketuanan Melayu kerana konsep ini lebih dikaitkan dengan perjuangan Umno. Isu ini juga satu ketika dulu berjaya memberi kelebihan kepada pembangkang apabila ramai orang bukan Melayu berjaya ditakut-takutkan dengan tafsiran yang salah mengenainya. Dari kaca mata pembangkang, ketuanan Melayu cuba digambarkan sebagai satu bentuk hubungan ‘tuan dan hamba’ antara orang Melayu dan bukan Melayu.
Kerana itu, istilah ketuanan Melayu juga acap kali cuba disamakan dengan maksud Malay supremacy, Malay hegemony, slave and serf dan banyak lagi. Ini merupakan satu tafsiran yang jauh terpesong kerana pemahaman ketuanan Melayu adalah berasaskan kepada fakta sejarah, sosiobudaya dan pencorakan kuasa politik di rantau ini sejak ribuan tahun lalu. Konsep ini juga bukanlah satu bentuk ideologi atau pendekatan berasaskan perkauman kerana sehingga kini, tidak ada orang bukan Melayu yang disisihkan atau dianaktirikan oleh orang Melayu dalam apa jua bidang sekali pun.
Malah dalam beberapa aspek, kaum bukan Melayu menikmati kehidupan yang jauh lebih baik dan berjaya berbanding dengan orang Melayu sendiri. Justeru, di mana asas ketakutan terhadap konsep ketuanan Melayu dan apa pula bezanya konsep tersebut dengan ketuanan rakyat? Begitupun, adalah lebih tepat untuk memahami mengenai konsep ketuanan Melayu dari sudut pandang Perlembagaan Persekutuan yang telah memperincikannya dengan jelas.
Lihat sahaja apa yang disebut oleh Artikel 153 yang bukan sahaja mengisytiharkan ketuanan bangsa Melayu ke atas bumi Malaysia, malah turut memberi jaminan mengenai kedudukan itu. Antara lain Artikel 153 itu berbunyi: “Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga hak keistimewaan orang Melayu dan pribumi Malaysia, secara kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputera. Artikel itu memspesifikasikan bagaimana kerajaan pusat melindungi kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mewujudkan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam.
Ia juga biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak sosial, dan biasanya dikatakan sebagai pertahanan legal bagi ketuanan Melayu — kepercayaan orang Melayu bahawa mereka adalah tuan Malaysia”. Artikel 153 ini juga mengukuhkan beberapa aspek mengenai hak-hak dan status orang Melayu sebagai penduduk asal Malaysia yang mesti dilindungi. Ia termasuk jaminan kedudukan Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu serta agama Islam dan bahasa Melayu sebagai agama dan bahasa rasmi Malaysia.
Mengapa kedudukan orang Melayu disebut dengan jelas di dalam Perlembagaan memerlukan kita untuk kembali menyelak sejarah penubuhan negara Malaysia. Ia sudah semestinya ada kaitan dengan sejarah awal kemasukan orang bukan Melayu ke Tanah Melayu sehinggalah kepada wujudnya konsep jus soli dan kontrak sosial dalam pemberian kewarganegaraan. Ia ditimbalkan dengan penerimaan balas beberapa syarat utama yang meliputi hal ehwal berkaitan perlindungan dan penjagaan status dan hak bangsa Melayu sebagai penduduk asal.
Dalam hal ini, jika orang bukan Melayu tidak lagi boleh menerima kontrak sosial dan jus soli, maka mereka perlu melihat kembali status kewarganegaraan mereka. Pernyataan ini mungkin berbunyi agak keras dan menyimpang dari usaha kerajaan menubuhkan negara bangsa menerusi Gagasan 1 Malaysia. Namun jika konsep ketuanan Melayu terus dipersoalkan dan hak-hak keistimewaan orang Melayu terus dipertikaikan, maka fakta sejarah dan Perlembagaan sahaja yang tinggal sebagai tembok kelangsungan Melayu di bumi Malaysia ini.
Barangkali fakta inilah yang ditakuti oleh pihak tertentu yang seperti cacing kepanasan apabila kerajaan mewajibkan Sejarah sebagai subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013. Kumpulan ini tidak mahu generasi baru terikat dengan pemahaman mengenai jus soli, kontrak sosial dan Perlembagaan yang pastinya merupakan intipati kepada subjek itu. Pemahaman yang jelas mengenainya terutama dalam kalangan pelajar-pelajar bukan Melayu akan menggagalkan usaha pihak tersebut dalam perjuangan kesamarataan dan ideologi Malaysia Malaysia yang diperjuangkan.
Tindak tanduk kumpulan yang terus mempersoalkan apa yang terkandung di dalam Perlembagaan itu juga mengingatkan kita kepada usaha mewujudkan perlembagaan baru. Perkara ini pernah didedahkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Menurut beliau, perlembagaan baru itu bakal menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang. Seperti yang diingatkan banyak pihak, usaha merangka perlembagaan baru itu adalah satu niat jahat yang boleh meruntuhkan negara.
Ini kerana ia bakal menafikan ketuanan Melayu dan hak-hak keistimewaan orang Melayu termasuk kedudukan Raja-Raja Melayu yang merupakan ketua negara. Orang Melayu yang bersekongkol dengan usaha-usaha sebegini sebenarnya telah memperlihatkan kepada masyarakat bahawa mereka sanggup menggadai maruah bangsa sendiri semata-mata mahu mendapatkan kekuasaan dan sokongan. Mereka juga sanggup mengikut telunjuk bangsa lain yang mahu keistimewaan orang Melayu dihapuskan dan digantikan dengan kesamarataan antara kaum yang pada akhirnya hanya merugikan bangsa mereka sendiri. — Utusan Malaysia
Bonus
Awek Cewek Buta Cinta
Comments