Jangan gusar, pelajar luar IPTA tak jejas pelajar tempatan
Jangan gusar, pelajar luar IPTA tak jejas pelajar tempatan
JABATAN PENGAJIAN TINGGI
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
KEMENTERIAN Pengajian Tinggi ingin memberikan penjelasan terhadap tulisan Di mana had kemasukan pelajar asing? oleh penulis 'Anti kera disusukan' dari Universiti Malaya di ruangan ini pada 22 September 2011.
Pengantarabangsaan pengajian tinggi sesebuah negara adalah satu elemen penting dalam usaha Kerajaan Malaysia memartabatkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sedia ada ke arah universiti bertaraf dunia.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menyasarkan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa menjelang tahun 2020, di mana disasarkan seramai 200,000 pelajar asing akan berada di Malaysia pada waktu berkenaan.
Ini juga selaras dengan hasrat Kerajaan Malaysia yang telah menetapkan sasaran yang sama melalui program-program yang akan dilaksanakan di bawah Program Transformasi Ekonomi Negara (NKEA), di mana dijangkakan berlaku peningkatan pada Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada tahun 2020 dengan janaan pendapatan sebanyak RM6 billion setahun.
Enrolmen Pelajar di IPT Malaysia
Selaras dengan hasrat itu, KPT telah mempergiatkan usaha pengantarabangsaan pengajian tinggi Malaysia di mana pada tahun 2010, seramai 86,619 pelajar antarabangsa telah memilih Malaysia sebagai lokasi ideal untuk menyambung pelajar mereka, dengan sejumlah 24,214 pelajar berkenaan di IPTA, iaitu sejumlah 27.9%.
Secara keseluruhannya, enrolmen bagi pelajar tempatan dan antarabangsa di IPTA dan IPTS bagi semua peringkat pengajian pada tahun 2010 adalah seramai 1,004,409 orang, iaitu di IPTA - 462,780 orang dan IPTS - 541,629 orang. Berdasarkan jumlah enrolmen pelajar di IPTA pada tahun berkenaan, peratusan pelajar antarabangsa yang menuntut di IPTA berbanding pelajar tempatan adalah sebanyak 5.23%.
Statistik ini jelas menunjukkan bahawa jumlah pelajar antarabangsa yang mendapat tempat di IPTA adalah jauh! lebih r endah daripada jumlah pelajar tempatan yang mendapat tempat di IPTA. (Sumber: Perangkaan Pengajian Tinggi Malaysia 2010, KPT)
Dasar KPT dalam pengambilan Pelajar ke IPT
Dalam pengambilan pelajar ke IPTA, KPT mengamalkan dasar pengambilan pelajar antarabangsa bagi program pengajian prasiswazah (Ijazah Sarjana Muda) tidak melebihi 5% (secara over and above) dan tidak terbuka bagi program-program kritikal seperti perubatan, pergigian dan farmasi.
Kuota ini juga terpakai kepada program-program pengajian sedia ada seperti bidang perniagaan, teknologi maklumat dan lain-lain bidang yang relevan terhadap keperluan pasaran tenaga kerja negara pada masa kini. Oleh hal yang demikian, kenyataan bahawa pelajar lepasan matrikulasi perlu berebut tempat dengan pelajar-pelajar antarabangsa dalam saingan mendapat tempat di IPTA adalah tidak benar. Dasar pengambilan pelajar ke IPTA masih memberi keutamaan kepada pelajar-pelajar tempatan untuk melanjutkan pengajian di IPTA, di mana proses ini dikawal selia oleh KPT melalui proses pengambilan pelajar berpusat setiap tahun oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi.
Perlu dijelaskan juga bahawa peratusan pelajar antarabangsa di IPTA yang tinggi adalah disebabkan oleh jumlah pelajar antarabangsa yang mengikuti program pasca-siswazah (Sarjana dan Kedoktoran-PhD.). KPT tidak mensyaratkan sebarang kuota kepada IPTA bagi ambilan pelajar berkenaan dan kuasa pengambilan pelajar memang diberikan sepenuhnya kepada IPTA berkenaan. Ini bertujuan untuk mendapatkan lebih ramai top brains dan best talents ke dalam IPTA bagi membantu usaha IPTA dalam memperkasakan kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kerana kurikulum program-program berkenaan yang lebih memberikan tumpuan kepada R&D.
Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) selaku pembekal perkhidmatan pengajian tinggi (education providers) yang mempunyai autonomi pengambilan pelajar penuh dibenarkan mengambil pelajar-pelajar antaraban! gsa tanp a sebarang kuota bagi mana-mana program. Ini adalah selaras dengan hasrat KPT agar Malaysia terus menjadi lokasi pilihan bagi pelajar antarabangsa untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti dengan harga yang kompetitif.
Kemasukan pelajar-pelajar antarabangsa ke mana-mana negara merupakan satu elemen baharu yang penting kepada senario pengajian tinggi antarabangsa. Bagi Malaysia, kemasukan pelajar antarabangsa dalam jumlah yang besar jelas menunjukkan kepercayaan mereka terhadap sistem jaminan kualiti program pengajian yang ditawarkan oleh IPT di Malaysia.
Ini merupakan satu fenomena yang normal dalam senario pengajian tinggi dan tidak boleh dihalang, seperti mana pelajar Malaysia yang mencari peluang belajar di luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Jepun dan lain-lain negara yang terbukti kualiti pengajian tinggi mereka.
Pelajar tempatan tidak perlu gusar dengan kehadiran pelajar antarabangsa kerana kehadiran mereka tidak akan menjejaskan peluang pengajian tinggi warganegara Malaysia untuk turut sama belajar di IPT tempatan, sekali gus mewarnai dan memeriahkan senario pengajian tinggi Negara,
Comments