Elak Jadi Mimpi Ngeri Perlawanan Malaysia – Bahrain
Oleh TG Azman TG Abas
KUALA LUMPUR 28 Nov – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan berkata kekalahan pasukan Malaysia dengan Bahrain malam tadi perlu dijadikan sebagai iktibar dan azimat yang penuh bermakna kepada semua pihak.
Menurut beliau kekalahan pada saat-saat akhir permainan merupakan satu keputusan pahit yang amat sukar diterima walaupun pada awalnya mendahului dan boleh dianggap menang terhadap pihak lawan.
"Kalau kita telah menang pada 80 minit pertama jangan kita tewas pada 10 minit terakhir. Saya bermimpi ngeri malam tadi. Kalau kita telah menang sekali pertandingan dan ibu segala pingat, kenapa kita perlu tewas di tempat sendiri. Jangan kalah di saat akhir.
"Begitu juga dalam politik. Jika sebelum ini Barisan Nasional (BN) telah memenangi beberapa pilihan raya kecil hingga yang terakhir, jangan kita tewas pada saat akhir dan jangan sesekali kita lalai dan alpa sebaliknya bersunguh-sungguh untuk memastikan kejayaan berkenaan berterusan hingga pilihan raya umum ke-13 nanti", katanya ketika berucap merasmikan pertandingan akhir Pidato Politik Piala Perdana Menteri 2011, di PWTC, di sini, hari ini..
Mengenai Pidato Politik Piala Perdana Menteri 2011, beliau melihat program yang dianjurkan oleh Pemuda BN hari ini menerusi pertandingan Pidato Piala Perdana Menteri sebagai satu inisiatif yang amat baik .
"Suka saya menyebutkan peserta yang layak ke peringkat separuh akhir dan ke peringkat akhir akan dimasukkan di dalam senarai penceramah kita.
"Ini penting untuk memberi nilai tambah kepada bilangan penceramah sedia ada baik di peringkat pusat, negeri serta bahagian itu sendiri. Dan kita amat mengalu-alukan mana-mana pihak lain yang ingin bersama dengan kita bagi memberi penerangan kepada rakyat," katanya.
Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Naibnya, Datuk Razali Ibrahim, Pengerusi Unit Pidato Pemuda UMNO, Lokman Noor Adam dan pimpinan Pemuda UMNO dan BN yang lain.
Pertandingan Pidato sampai kemuncaknya setelah menjelajah di lima zon seluruh negara iaitu Zon selatan di Johor Bahru, Tengah Shah Alam, Utara di Pulau Pinang, Pantai Timur di Kuantan dan di Borne diladakan di Sabah.
Seramai 118 peserta yang terlibat dan pertandingan akhir akan diadakan esok.
Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri seterusnya menambah, pemimpin ada menyebut dalam politik lebih 50 peratus adalahkepetahan bercakap di khalayak ramai dan jika itu dapat dilakukan percayalah dan insyaallah seseorang itu boleh menjadi pemimpin politik yang berjaya.
Beliau seterusnya berkata perjuangan untuk agama dan tanah air berjaya atau gagal bergantung kepada pilihan raya akan datang.
"Oleh itu jadikanlah apa yang berlaku malam tadi sebagai azimat mudah-mudahan kita menjadi pemidato muda terus berinteraksi dengan rakyat, menjadi jurubicara rakyat dan terus bersama pucuk pimpinan untuk mendekati pengundi muda bersama kita," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam ucapannya berkata pertandingan berkenaan merupakan platform untuk anak-anak muda mengasah bakat dalam pidato dan berhujah dengan baik.
"Atas dasar itu kita mengadakan pertandingan ini untuk mencari lebih ramai mereka yang boleh bercakap dengan baik untuk untuk diketengahkan sebagai pemidato. Kita tawar dan terbuka kepada semua pihak.
"Melihatkan kepada keseluruhan peserta, rata-rata saya lihat ada ketokohan untuk bercakap dan inilah yang ingik kita tonjol dan ketengahkan. Bukan soal kuantiti yang diutamakan sebaliknya adalah kualiti peserta. Itu yang penting," katanya. -MediaUMNO
More » Bonology.com | Pakatan Rakyat (PR) | Sociopolitics Plus | 大马社会政治
Comments