Banteras jenayah di Bandar Baru Selayang
Banteras jenayah di Bandar Baru Selayang
MENAKUTKAN. Itu yang dapat digambarkan dengan fenomena jenayah yang tampak semakin berleluasa terutama sekali di kawasan perumahan berhampiran stadium Majlis Perbandaran Selayang. Saya sudah tinggal di kawasan ini lebih 10 tahun dan banyak kejadian jenayah seperti pecah rumah, samun dan ragut berlaku di kawasan perumahan terbabit.
Rumah saya sendiri sudah dua kali dipecah masuk dan banyak barang berharga lesap. Kereta yang diletakkan di luar rumah turut dipecahkan untuk mengambil peralatan berharga. Malahan jiran-jiran juga ramai menjadi mangsa samun, rompak dan ragut.
Apa yang mengecewakan saya, jarang saya lihat kereta peronda melakukan rondaan di sekitar perumahan Bandar Baru Selayang ini sehingga ada ura-ura mengatakan penduduk terpaksa menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga untuk menghalang jenayah ini daripada berterusan.
Saya ingin memohon pihak polis kerap melakukan rondaan khususnya di kawasan perumahan Bandar Baru Selayang kerana kekerapan kejadian jenayah yang berlaku siang dan malam amat membimbangkan penduduk.
MUHAMMAD HARIZ
Bandar Baru Selayang
Comments