Geran 1Malaysia galak belia buat program

from Politik Harian



KUALA LUMPUR 27 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mewujudkan geran 1Malaysia bagi menggalakkan belia menganjurkan pelbagai program yang bertujuan menyemai sifat bersatu padu antara kaum berasaskan konsep itu.

Perdana Menteri berkata, langkah itu yang dicadangkan oleh Makmal Pemuda Barisan Nasional (BN) adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk terus mendidik rakyat termasuk kakitangan awam supaya memahami konsep itu dengan mendalam.

''Kebanyakan cadangan yang dikemukakan oleh makmal ini adalah bernas dan walaupun mungkin tidak semuanya dapat diterima dan dilaksanakan, tetapi yang lebih penting adalah kerajaan telah mendengar suara orang muda.

''Satu cadangan yang menarik perhatian saya dan boleh dilaksanakan dengan segera adalah supaya diwujudkan geran khas bagi menyokong program 1Malaysia yang dijalankan oleh belia.

''Mungkin kita boleh masukkan geran ini dalam ucapan bajet akan datang dan mungkin juga dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sebab ia merupakan pelan berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog selepas mendengar taklimat mengenai laporan akhir makmal berkenaan yang disampaikan oleh Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Makmal berkenaan yang telah menemu bual 7,500 belia pelbagai kaum berusia 20 hingga 35 tahun mencadangkan pelbagai perubahan yang dikehendaki golongan itu membabitkan empat bidang utama iaitu ekonomi (pekerjaan dan perniagaan), kualiti hidup, pendidikan serta perpaduan dan demokrasi.

Idea mengenai makmal itu dicetuskan sendiri oleh Perdana Menteri pada Februari lalu bagi mencari titik sentuh antara kerajaan BN dengan golongan muda, selain bertujuan memahami aspirasi mereka.

Dalam pada itu, Najib mengakui masih terdapat di kalangan kakitangan kerajaan dan orang awam yang tidak memahami konsep 1Malaysia dan ini terbukti apabila mereka masih menimbulkan isu-isu perkauman.

''Saya ingin menyatakan bahawa kerajaan sekarang mengamalkan toleransi sifar terhadap sifat perkauman dan kita akan ambil tindakan terhadap pihak terbabit jika terbukti mereka melakukan perbuatan dan menyatakan ungkapan yang bersifat rasis," katanya.

Sebelum itu, seorang peserta dialog telah membangkitkan isu sebuah universiti tempatan yang didakwanya tidak sensitif dengan keperluan kaum India apabila menetapkan tarikh peperiksaan ketika hampir dengan Deepavali dan tidak meluluskan permintaan mahasiswa untuk menggunakan bas universiti ke kuil.

Mengenai satu lagi cadangan makmal berkenaan supaya diperkenalkan dasar gaji minimum untuk pekerja tempatan tidak kurang RM1,000 sebulan, Najib berkata, kerajaan berpendapat langkah itu hanya boleh dilaksanakan mengikut sektor pekerjaan dan bukan secara menyeluruh.

Berhubung desakan supaya golongan mahasiswa dibenarkan untuk berpolitik, Perdana Menteri berkata, beliau masih terbuka untuk sebarang cadangan walaupun Kabinet secara dasarnya tidak begitu bersetuju.

''Saya masih memikirkan perkara ini dan terbuka untuk berdebat mengenai isu ini untuk membolehkan keputusan terbaik dapat dicapai," katanya.

Menjawab satu lagi soalan mengenai keengganan generasi muda menyertai parti berasaskan kaum, Najib berkata, BN akan membincangkan mengenai cadangan membenarkan keahlian terus ke dalam parti itu ketika konvensyen akhir tahun ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata, BN perlu membuktikan kepada rakyat bahawa ia adalah parti yang mempunyai idea bernas dan daya intelektual lebih tinggi berbanding pakatan pembangkang.

''Zaman sebenarnya sudah berubah dan era kita mengangkat tangan dan dengan suara lantang melaung hidup UMNO dan hidup BN, hidup ini dan itu, mungkin tidak lagi sesuai dalam suasana hari ini," kata Najib.

Comments

Optimized Search

Popular posts from this blog

BAGAIMANA GAMBAR AWEK MELAYU BOGEL BOLEH TERSEBAR DIDALAM BLOG??

Scandal: Alyssa The Scandal Queen

Thank you, 2012