Puteri Umno Perlis Nafi 30 Orang Kuatnya Sertai PKR
KANGAR, twenty-four June Puteri Umno Perlis menafikan dakwaan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perlis Dr Soraya Sudin kononnya ramai anggota berpengaruh pergerakan itu menyertai parti pembangkang berkenaan.
Ketua Puteri Umno Perlis Asmaiza Ahmad berkata dakwaan yang dibuat itu melalui Suara Keadilan keluaran terbaru adalah tidak benar dan merupakan propaganda murahan untuk meraih sokongan pengundi muda.
Hakikatnya Puteri Umno Perlis semakin bertambah mantap berikutan penambahan cawangannya kepada 245 berbanding 224 cawangan tahun lalu, katanya pada satu sidang akhbar di sini hari Khamis yang turut dihadiri Ketua Puteri Umno Bahagian Kangar, Huzaini Abdul Hamid, Ketua Puteri Umno Bahagian Arau, Amzira Abdullah dan Setiausaha Politik Menteri Besar Perlis, Azali Abas.
Asmaiza, yang juga Ketua Puteri Umno Bahagian Padang Besar, mencabar Soraya supaya membuktikan dakwaan kononnya 30 orang kuat Puteri Umno menyertai PKR padahal Puteri Umno Perlis tidak menghadapi sebarang kemelut.
Saya tak tahu apa tujuan sebenar beliau berkata sedemikian, katanya.
BERNAMA
Comments