Sampah Sarap Mamak Hari Ini

Santa Made in China

Iktiraf gay umpama menggadai agama — Shamrahayu A Aziz

December 28, 2010

28 DIS — Lebih kurang sebulan lalu, seorang rakan yang juga pegawai kanan polis menyuarakan rasa geram terhadap panggilan telefon berulang kali dan beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seseorang yang memperkenalkan diri sebagai ‘Gay Boy’. Saya membaca antara SMS ‘Gay Boy’ itu. Dia menyatakan minat untuk berhubungan dengan pegawai berpakaian seragam.

Rakan saya, dalam nada suara tinggi, melahirkan rasa terganggu terhadap panggilan dan SMS itu. Beliau juga melahirkan rasa ‘meluat’ terhadap ‘gay’. Saya cuma ketawa mendengar penegasan beliau. Saya fikir, walaupun ada golongan yang mengaku gay, mereka tidaklah sampai mengganggu orang lain.

Mulanya saya tidak memandang serius mengenai perkara ini dan menganggap perlakuan gay menelefon dan menghantar pesanan kepada rakan saya itu sesuatu yang terpencil.

Dalam ketawa, saya teringat rakan di pejabat peguam negara yang pernah menghubungi saya mengenai isu ini. Kami pernah berbincang mengenai isu ini dari sudut undang-undang secara tidak formal.

Rakan saya ini juga pernah bertanya mengenai sumbangan saya sebagai pensyarah dan penyelidik dalam menangani masalah LGBT (lesbian-gay-bisexsual-transgender) di negara kita.

Beliau juga memberi komen bahawa golongan ini semakin berani. Beliau menambah, mereka juga mendapat sokongan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang begitu giat berjuang untuk mencari dan mendapatkan hak kepada mereka.

Pengakuan seorang lelaki Melayu di youtube mengenai status seksualitinya membuatkan saya tertanya-tanya. Adakah anggapan pertama saya mengenai panggilan telefon dan SMS yang diterima rakan pegawai polis adalah sesuatu yang terpencil ini benar? Adakah komen rakan daripada pejabat peguam negara mengenai sokongan beberapa NGO yang bergiat mempromosi hak asasi golongan LGBT ini benar?

Untuk mencari jawapan, saya tonton youtube berkaitan dan saya layari laman web Seksualiti Merdeka dan beberapa lama web berkaitan yang lain. Saya dapati pelbagai hujah, pendapat, misi dan objektif golongan LGBT di Malaysia.

Pengakuan lelaki Melayu dan pengisian laman web itu mengubah persepsi asal saya. ‘Gay Boy’ bukan terpencil. Ia bukan rahsia. Ia juga mendapat sokongan sesetengah pejuang ‘hak asasi’ acuan Barat. Mereka juga berani dan tidak menghormati hak orang lain. Kedua-dua rakan saya benar.

Sebenarnya saya beberapa kali menegaskan pandangan mengenai isu hak asasi di ruangan ini. Sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan nilai moral, budaya dan agama, bukan hak asasi di negara ini. Ia adalah kepentingan peribadi yang tidak menghiraukan hak orang lain.

Perkara yang ada di fikiran saya ialah, adakah unsur kebebasan peribadi yang melampau seperti ini boleh menginap dengan selesa di dalam rangka sistem negara yang berpaksikan agama? Atau, adakah agama yang menjadi paksi sistem negara perlu diubah, dirobek dan dimusnahkan bagi membenarkan elemen asing ini menginap dengan selesa di sini?

Jawapan saya seperti berikut: Dari sudut agama, ia amat terang kemungkarannya. Masalah akan timbul sekiranya ajaran agama diketepikan. LGBT dalam konteks agama bukan sesuatu yang moden, ia adalah perbuatan kuno dan mereka adalah kaum yang dipupuskan Allah, The Perished Nation. Kita lihat ayat suci al-Quran berkaitan ini.

Dari sudut budaya dan amalan masyarakat, ia juga begitu terserlah terpesong. Ia songsang. Begitu juga dari sudut undang-undang. Ada pelbagai peruntukan yang menjadikan perbuatan LGBT sebagai kesalahan. Mungkin mendedahkan diri sebagai pengamal seks songsang ini juga adalah kesalahan.

Jadi, mungkin ada yang ingin memberi pandangan, apakah alasan paling jitu untuk kita mengiktiraf LGBT di sini? Saya tidak menemui jawapan lain, kecuali kebebasan peribadi tanpa sempadan.

Sebagai manusia, saya juga mempunyai perasaan simpati kepada mereka yang benar-benar mengalami masalah psikologi dalam menentukan status seksualiti. Mereka ini adalah pesakit yang memerlukan bantuan. Mereka berhak mendapat perkhidmatan kesihatan bagi memulihkan penyakit itu. Kita harus berbuat sesuatu untuk golongan ini.

Tetapi ini tidak harus dijadikan alasan untuk negara dan majoriti rakyat yang beragama mengiktiraf LGBT. Bagi mereka yang semata-mata memperjuangkan LGBT atas dasar hak kebebasan, mungkin mekanisme undang-undang perlu mengambil tempat.

Mungkin ada yang berhujah bahawa undang-undang kita harus berubah. Undang-undang harus menjadi dinamik dan mengikut peredaran global. Oleh itu, undang-undang harus mengiktiraf LGBT, seperti negara lain. Hujah sebegini tidak tepat di dalam konteks negara ini.

Kita mempunyai Islam sebagai agama negara. Kita juga mempunyai institusi agama yang tidak dipisahkan daripada negara. Undang-undang kita berasaskan agama.

Falsafah negara kita juga mengutamakan kesopanan dan kesusilaan. Wawasan negara, antara lain ialah untuk membina masyarakat yang bermoral dan berpegang teguh dalam nilai agama dan rohani yang paling tinggi.

Negara kita tidak seperti Barat yang memisahkan antara agama dan negara. Sekiranya mereka meletakkan agama sebagai perkara peribadi, itu tidak benar di dalam Islam dan ia tidak benar di negara ini.

Islam bukan saja menjelaskan hubungan peribadi seorang manusia dengan Pencipta, Islam juga menggariskan cara hidup tertentu kepada penganutnya. Perbuatan menolak agama dan menutup telinga terhadap hujah agama menjadi masalah utama.

Sekiranya perlakuan seperti ini diiktiraf negara, ia seumpama mengheret agama ke longkang dan membuangnya tanpa mengambil peduli. Falsafah negara yang kita bina selama ini juga akan tergadai dan menjadi sia-sia.

* Penulis ialah penolong profesor di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM

Apco: Pembohongan Anwar tidak mampu ditutup — Utusan Malaysia

December 28, 2010

28 DIS — Sememangnya menipu atau berbohong itu sangat mudah dilakukan. Ini kerana kadang kala ia tidak memerlukan modal langsung atau pengumpulan fakta, tetapi cukup sekadar melontarkan tuduhan.

Lebih menjijikkan, apabila umum sudah mengetahui ia suatu penipuan, orang yang berbohong masih tidak mahu mengakui kesilapan sebaliknya terus cuba menutup kesalahannya atau 'baling batu sembunyi tangan.'

Inilah ibaratnya dalam isu dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 17 Mac lalu bahawa gagasan 1 Malaysia ditiru daripada slogan One Israel.

Dakwaan beliau itu tercatat di muka surat 76 hansard Parlimen pada tarikh berkenaan. Anwar menyatakan bahawa pada 2009, syarikat perunding Apco Worldwide telah memberi nasihat berhubung konsep 1 Malaysia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Anwar, syarikat sama memberi nasihat slogan One Israel pada 1999 kepada Ehud Barak, Perdana Menteri Israel ketika itu.

Ekoran itu, Apco telah membuat penafian pada keesokannya dan pada 22 Mac lalu Anwar telah diberi tempoh seminggu untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan palsu itu.

Sebaliknya, Anwar bukannya mengakui kesilapannya, memberi penjelasan atau membuktikan dakwaannya itu tetapi terus menyerang kerajaan.

Pada 22 Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencabar Anwar mempertikaikan surat penafian Apco dan satu akuan bersumpah menafikan dakwaan Ketua Pembangkang itu.

Dalam surat bertarikh 19 Ogos lalu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, Apco menafikan ia terlibat mencipta gagasan 1 Malaysia dan One Israel seperti didakwa Anwar.

Warga Amerika Syarikat, Robert M. Shrum yang juga bekas penasihat politik Ehud Barak pula membuat akuan bersumpah menafikan penglibatan Apco dalam kempen One Israel.

Dan, sehingga kini Anwar masih berdiam diri dan enggan menyahut cabaran Mohamed Nazri itu. Sebaliknya beliau terus menggunakan pentas-pentas ceramah untuk mengelirukan rakyat.

Sikap itu jelas menunjukkan putar-belit Anwar yang memang dikenali sanggup memburuk-burukkan kerajaan dan negara sendiri semata-mata untuk kepentingan politik peribadinya.

Kegagalan Anwar tampil menyahut cabaran Mohamed Nazri itu juga sudah pasti disebabkan hakikat kesukaran yang dihadapinya untuk menutup pembohongan demi pembohongan yang telah dilakukannya.

Rakyat pula bukannya buta dan tuli sehingga sanggup menerima bulat-bulat pembohongan Anwar atau putar-belit beliau berhubung isu ini atau pun dakwaan lain yang pernah dibuatnya sebelum ini.

Daripada pembohongan ini juga, rakyat mula sedar dan mengetahui setakat mana Anwar boleh dipercayai sama ada dalam isu 1 Malaysia atau isu dan kes-kes lain sebelum ini.

Beza 1 Malaysia dan One Israel — Mohd Ayop Abd Razid

December 28, 2010

28 DIS — Benarkah 1 Malaysia sama dengan One Israel? Rencana ini cuba mengupas perbezaan kedua-dua gagasan terbabit dengan memberikan penekanan kepada aspek konsep bangsa.

Konsep One Israel diperkenalkan oleh Ehud Barak, Perdana Menteri Israel pada awal tahun 1990-an. Ia bertujuan memperkukuh kedudukan kaum Yahudi di bumi Palestin. Justeru, One Israel berkaitan dengan kesinambungan perjuangan Zionis yang terus menerus berusaha memperkukuh kedudukan mereka di bumi Palestin.

One Israel adalah gagasan yang bersifat rasis, egoistik, cauvinistik dan partikularistik. Ia mengamalkan dasar diskriminasi terhadap bangsa Arab Palestin. Gagasan tersebut dicipta khusus untuk bangsa Yahudi. Melaluinya, rejim Zionis Israel melaksanakan dasar pentadbiran yang mengutamakan kaum Yahudi di negara haram Israel itu.

Oleh itu, segala bentuk dasar pembangunan sosioekonomi adalah untuk kepentingan kaum Yahudi semata-mata, manakala rakyat Palestin terus menerus ditindas dan dinafikan hak mereka.

Pada hemat saya, tidak salah kita mengatakan bahawa One Israel adalah gagasan yang mendukung dogmatisme utama bangsa Yahudi yang menganggap kaum mereka sebagai ‘Bangsa Pilihan Tuhan’ (The Chosen People of God). Kaum Yahudi telah menjadikan faktor ‘darah keturunan’ sebagai faktor penentu Tuhan memilih mereka sebagai ‘Bangsa Pilihan’. Pilihan ini berasaskan kepada kasih sayang Tuhan ‘Yahweh’ kepada mereka.

Menurut mereka, keistimewaan ini tidak dikurniakan kepada bangsa-bangsa lain seperti gambaran yang diberi di dalam ‘Perjanjian Lama’ (Old Testament) yang menyebut:

“Engkau...wahai Israel adalah bangsa yang dikuduskan oleh Tuhanmu. Engkau telah dipilih oleh Tuhanmu agar engkau menjadi satu bangsa yang paling istimewa dan unik di sisi Tuhan engkau dari seluruh bangsa-bangsa lain yang menyebabkan Tuhan cinta kepada kamu dan memilih kamu tetapi pemilihan kamu adalah kerana kasih sayang Tuhan kepada kamu dan jagaan-Nya terhadap sumpah yang dibuat-Nya dengan bapa-bapa kamu, iaitu Tuhan telah membawa kamu keluar dengan tangan yang kuat dan menebus kamu daripada perhambaan Fir’aun Raja Mesir ( Deuteronomy V11:6-8).

Sebelum wujudnya apa yang dinamakan pergerakan Zionis secara rasmi, telah lahir pelbagai pergerakan Yahudi yang berjuang untuk kembali dan menjadikan bumi Palestin sebagai negara mereka. Di antara pergerakan awal itu adalah pergerakan Maccabean, pergerakan Barkohhba (117-136M), pergerakan Maosisi al-Kariti, pergerakan Dapd Robin (1501-1532M), pergerakan Mansyah bin Israel (1604-1657M) dan pergerakan Syabtai Lapei (1626-1676M).

Akhirnya, pergerakan Zionis yang dipelopori oleh Theodor Herzl telah berjaya membawa impian mereka untuk kembali menguasai bumi Palestin. Sejak menguasai Palestin pada tahun 1948, pemimpin Yahudi yang silih berganti itu menjalankan dasar ‘penghapusan kaum’ terhadap bangsa Arab Palestin sehinggalah ke hari ini.

Dasar-dasar yang dilaksanakan di negara haram Israel itu semuanya mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan bangsa Yahudi. Dasar ini jugalah yang termuat di dalam gagasan One Israel. Jelas bahawa gagasan rasis Zions itu jauh berbeza konsepnya berbanding dengan gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Razak yang bertujuan menyatupadukan rakyat Malaysia pelbagai kaum.

Gagasan 1 Malaysia tidak memiliki elemen rasisme atau ideologi perkauman sempit seperti mana yang dipamerkan oleh One Israel. Slogan 1 Malaysia, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” adalah bukti nyata gagasan ini tidak bersifat rasis. Seperti yang pernah dihuraikan oleh Najib di dalam Dewan Rakyat bahawa 1 Malaysia itu membawa maksud perpaduan dan kesepakatan, “Rakyat Didahulukan” membawa pengertian pengagihan dan perkhidmatan kerajaan merentasi tembok perkauman, manakala “Pencapaian Diutamakan” membawa maksud kerajinan dan penghasilan.

Yang jelas kepada kita ialah, 1 Malaysia menekankan konsep ‘rakyat’, bukannya konsep kaum atau bangsa-bangsa tertentu. ‘Rakyat’ bermaksud ‘warganegara’ yang mana kerakyatannya sah di sisi undang-undang negara. Justeru, apa juga dasar pembangunan sosioekonomi di bawah gagasan 1 Malaysia adalah untuk disertai dan nikmati oleh seluruh rakyat di negara ini tanpa mengira kaum supaya matlamat untuk mencapai perpaduan kebangsaan menjadi kenyataan.

Bukannya mudah untuk memuaskan hati semua kaum kerana apabila sesuatu dasar itu disalah tanggap atau dipolitikkan, maka akan berlaku tuntutan-tuntutan ekstrem daripada kaum-kaum tertentu yang boleh menjejaskan hubungan dan keharmonian kaum di negara ini. Justeru, pernah di dalam satu majlis bersama media, Najib berkata kepada para wartawan: “Saya membawa satu perasaan keinsafan yang amat mendalam dan tawaduk bahawasanya ini bukan satu status, bukan soal kuasa tetapi soal tanggungjawab dan harapan yang diberi oleh rakyat amat besar”.

Kesimpulannya, gagasan 1 Malaysia jauh berbeza dengan gagasan One Israel. Perbezaannya ‘umpama langit dengan bumi’. One Israel adalah gagasan yang mendukung dogmatisme bangsa Yahudi yang mempercayai bangsa mereka sebagai ‘Bangsa Pilihan’. Ia adalah gagasan yang mengamalkan fahaman kuno yang mendukung konsep ‘super race’.

Sebaliknya, gagasan 1 Malaysia mendukung konsep ‘rakyat’ (warganegara). Ini bermakna 1 Malaysia memberikan hak kepada semua rakyat tanpa mengira kaum. Tegasnya, 1 Malaysia adalah gagasan yang mendukung konsep kesatuan rakyat. Kita meraikan ‘kepelbagaian’ (kemajmukan kaum) dan mengamalkan kesederhanaan (wasatiyyah).

Menurut Dr. Hassan Ahmad (2010), kesatuan rakyat yang diasaskan kepada kesatuan sosiopolitik-legalistik adalah landasan penting untuk mencapai perpaduan kebangsaan. Negara akan hancur seandainya setiap kaum cuba membentuk ‘perkampungan’ sendiri, sistem sosial, sistem ekonomi, sistem pendidikan dan sistem politik sendiri yang terpisah daripada dasar, institusi, dan sistem kebangsaan negara. — Utusan Malaysia

Comments

Optimized Search

Popular posts from this blog

AISKRIM CAP SAMSIDA! MARI LIHAT FOTO MAHASISWA BEROMEN DI DATARAN!

Keffiyah Yahudi ~ Usaha puak Zionis Israel untuk menyaingi Keffiyah Arafat

BAGAIMANA GAMBAR AWEK MELAYU BOGEL BOLEH TERSEBAR DIDALAM BLOG??